Friday, February 4, 2011
Friday, January 28, 2011
KEDUDUKAN KEDUA-DUA TANGAN SEMASA BERDIRI DALAM SOLAT
Membaca doa iftitah sebaik-baik saja selesai bertakbir dengan membaca:
“Allah Maha Besar sebesar-besarnya, dan segala kepujian bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah di waktu pagi dan petang.”
Ataupun boleh dibaca doa ini:
“Aku menghadapkan mukaku kepada yang menjadikan langit dan bumi dalam keadaan cenderung dan terserah dan tiadalah aku dari golongan orang-orang musyrikin. Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah, Tuhan seru sekalian alam, tiada sekutu bagiNya, dan demikian itulah aku diperintahkan dan aku termasuk golongan kaum Muslimin.”
Dalam beberapa hadis disebutkan bahawa Rasulullah saw meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya, di atas daripada pusat dan di bawah tulang rusuk. Telapak tangan kanannya berada di sebelah atas pergelangan kiri. Ada ulama yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memegang pergelangan kiri dengan jari kelingking dan ibu jari kanan, sementara tiga jari tengah terbuka di sepanjang lengan.
Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dengan cara seperti ini menjadikan tinggi bahu menjadi seimbang. Semasa kedua tangan diletakkan dalam kedudukan seperti ini, kedua lengan berada berada pada kedudukan yang sama dan demikian pula kedua bahu akan berada pada kedudukan yang sama. Sebab masing-masing dari kedua-duanya terpisah dari lengan bawah sejauh panjang lengan atas.
Selain menguatkan kedua bahu, posisi tangan seperti ini juga dapat menguatkan posisi kedua telapak kaki sebab keduanya bertumpu pada satu dataran yang sama iaitu tanah, di samping merapatkan kedua bahu, tumpuan dapat membahagi beban tulang pinggul pada dua anggota badan bahagian bawah secara sama rata. Kedudukan ini juga dapat mengelakkan berlakunya lengkungan pada tulang belakang. Kedudukan ini bertujuan untuk membaiki lengkungan tersebut. Malah akan menjadi terapi jika dilakukan secara berterusan memandangkan waktu berdiri semasa solat adalah cukup lama.
Selain itu, ketepatan kedua kaki, tulang-tulang pinggul dan kedua bahu pada garis yang seimbang dapat mencegah kemiringan kepala dan leher ke salah satu sisi atau yang dikenali dengan penyakit leher kaku atau leher menjadi keras. Dengan demikian, berdiri dengan cara yang betul dapat melindungi dari berlakunya lengkungan-lengkungan tulang belakang.
Hikmah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri semasa solat sebagaimana yang Rasulullah saw pemerintahkan supaya menggunakan tangan kanan dalam banyak-banyak pekerjaan. Antara hikmahnya juga, untuk mengangkat lengan kanan sedikit lebih ke depan daripada lengan kiri memandangkan kedudukan tangan kanan di atas tangan kiri. Hal ini menyebabkan lingkaran pada tulang belikat kanan sedikit lebih ke belakang dari tulang belikat kiri. Perkara ini mewujudkan keseimbangan dan ketepatan di antara kedua bahu kerana ketepatan kedudukan kedua tulang belikat terhadap kedua bahu dan tulang belakang.
Di dalam beberapa hadis dijelaskan bahawa seseorang yang mengerjakan solat harus berdiri, sedangkan lebar antara kedua kakinya adalah selebar kedua bahunya. Kedua kaki sejajar dan jari-jari kaki berada dalam satu garis menghadap ke arah qiblat. Hendaklah tumpuan dilakukan pada sisi luar kedua kaki, kedua tumit dan dada kedua kaki. Dengan demikian, tumpuan berat badan pada sisi dalaman kedua kaki berkurangan sehingga tidak menyebabkan lekukan pada kaki. Hendaklah tangan kanan berada di atas tangan kiri pada dada dan telapak tangan kanan berada di atas pergelangan kiri. Adapun mata, hendaklah memandang ke arah tempat sujud tanpa melampaui hujung-hujung tempat solat, di samping tidak memalingkan pandangan ke tempat lain.
Seterusnya, hendaklah membaca al-Fatihah, setelah selesai, ucapkanlah pula “Amiin” yang bererti: kabulkanlah! Tetapi jangan pula dia menyambungkan kalimat “Amiin” itu dengan kalimah “Waladh-dhalliin”.
Thursday, January 27, 2011
MENGANGKAT KEDUA-DUA TANGAN KETIKA TAKBIRATUL IHRAM
Takbiratul Ihram memiliki kedudukan yang sangat penting. Takbiratul Ihram adalah bahagian utama solat, berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra.
Setiap sesuatu memiliki bahagian utama, dan bahagian utama solat adalah takbir pertama (diriwayatkan oleh al-Baihaqi).
Dalam melakukan takbiratul ihram, seorang muslim harus mengangkat kedua tangannya sambil membuka jari-jarinya sebagaimana adanya tanpa merenggangkannya. Hendaklah kedua tangannya sejajar dengan bahu, telapak tangan menghadap ke kiblat, kedua ibu jari sejajar dengan cuping telinga dan hujung jari-jarinya menunjuk ke bahagian atas telinga. Lalu hendaklah dia bertakbir untuk memulakan solat.
Hikmah mengangkat tangan dan sejajar dengan bahu adalah bahawa dalam kehidupan normal, seseorang kadang kala mengalami lengkungan pada daerah tulang belakang. Demikian pula lingkaran pada dua bahu dan menonjol pada tulang belakang ke arah belakang. Kerosakan ini banyak berlaku di kalangan orang-orang yang melakukan kerja-kerja pejabat yang mengharuskannya untuk membongkokkan tulang belakang ke atas meja dalam jangka masa yang lama, begitu pula dengan orang-orang yang berusia lanjut. Akibat yang ditimbulkan oleh kerosakan ini, iaitu berkurangnnya ruang udara bagi kedua paru-paru. Maksudnya, kadar udara dalam tarikan dan hembusan nafas. Nisbah oksigen dalam udara adalah seperlima kadar udara. Oleh itu, terdapat hubungan yang seimbang di antara ruang udara dan kadar oksigen. Ini bererti bahawa setiap kali ruang udara berkurangan maka kadar oksigen di dalam kedua paru-paru juga berkurangan. Hal ini menyebabkan berkurangnya kuantiti darah yang membawa oksigen dan makanan ke sel-sel badan.
Berkurangnya proses metabolisme dalam sel-sel kerana berkurangnya oksigen serta berkurangnya kuantiti darah yang membawa sisa-sisa pembakaran pada sel-sel dan mengembalikannya ke jantung dan paru-paru untuk dibersihkan melalui proses pertukaran gas pada kedua paru-paru. Akibatnya, kecepatan tubuh untuk membersihkan diri dari sisa-sisa pembakaran pada sel-sel akan berkurangan. Pada keadaan ini akan mempercepatkan terjadinya keletihan pada otot sebagai akibat dari penimbunan sisa-sisa pembakaran.
Mengangkat tangan dengan cara kedua telapak tangan menghadap qiblat, maka kedua siku menunjuk ke arah dua sisi, bukan ke depan. Mengangkat kedua telapak tangan sejajar dengan kedua bahu menjadikan dua tulang belikat yang ada di tulang belakang kembali ke kedudukannya yang rata, disertai dengan keseimbangan tulang belakang. Ini berfungsi melindungi tubuh dari kerosakan melingkarnya kedua bahu dan tulang belakang. Melakukan gerakan ini secara berulang-ulang dalam melaksanakan solat dapat memperbaiki kerosakan ini.
Selain itu, mengangkat kedua tangan dengan cara ini dan mengembalikan tulang belakang kepada keseimbangannya dapat menambah luas dada. Selanjutnya kapasiti udara kedua paru-paru akan bertambah, kuantiti darah yang beroksigen akan bertambah, kuantiti darah yang membawa makanan dan oksigen kepada sel-sel badan akan bertambah dan kecepatan badan untuk membersihkan diri dari sisa-sisa proses metabolisme pada sel-sel akan bertambah. Dengan demikian, munculnya keletihan pada otot dan ketegangan pada otak dapat dikurangkan.
Dalam hadis disebutkan bahawa: Apabila Nabi saw berdiri untuk solat, terlebih dahulu mengangkat kedua tangannya sambil meluruskan jari-jarinya. Ini bererti bahawa pada masa mengangkat tangan, Baginda membuka jari-jarinya secara serentak, sehingga telapak tangannya menjadi terbuka. Ini adalah latihan untuk jejari tangan. Meskipun nampak sederhana, akan tetapi sesuai dengan otot-otot dan ikatan-ikatan pada jari-jari. Persiapan otot yang diperlukan oleh jari-jari tangan haruslah sesuai dengan berat bebanan yang ditanggungnya dalam kehidupan seharian. Bebanan tersebut adalah lebih sedikit jika dibandingkan dengan beban otot-otot besar pada bahagian-bahagian badan yang lain. Dengan mengulangi latihan bagi jari-jari seperti ini sebanyak 3 kali dalam setiap rakaat dan 17 rakaat dalam sehari semalam, maka hal itu boleh mempercepatkan aliran darah pada jari-jari.
Selain itu, mengangkat dan menurunkan kedua lengan dengan cara sedemikian ketika bertakbir, sebanyak 3 kali dalam setiap rakaat dan 17 rakaat dalam sehari semalam, ditambah solat-solat sunat dapat dianggap sebagai latihan bagi otot-otot kedua lengan. Ini kerana otot-otot kedua lengan mengeluarkan tenaga, meskipun sedikit, untuk melawan berat kedua lengan sendiri setiap kali tangan diangkat dan diturunkan. Ini adalah latihan ringan bagi otot-otot kedua lengan sebab otot-otot tersebut tidak berada dibawah pengaruh selain berat kedua lengan sendiri. Oleh itu, dapat dianggap sebagai latihan pemanasan dan pendahuluan bagi otot-otot kedua lengan untuk mempersiapkannya mengeluarkan tenaga yang lebih besar setelah itu, misalnya semasa bersujud.
Perlu diketahui bahawa jika jarak mengangkat tangan bertambah atau orang yang solat berlebihan dalam gerakannya, maka akan menambahkan tekanan kedua tulang belikat pada tulang belakang ke arah depan, sehingga cengkungan daerah bahagian bawah tulang belakang yang berlawanan dengan perut akan bertambah ke belakang. Tambahan ini akan mengakibatkan terjadinya tarikan pada saraf yang mengatur daerah bahagian belakang kedua kaki dan tekanan pada hujung-hujung saraf tersebut. Hal ini dapat menimbulkan penyakit sciatica. Selain itu, tekanan pada sisi belakang tulang-tulang rawan pada ruas-ruas tulang belakang akan bertambah sebagai akibat semulajadi dari bertambahnya cengkungan bahagian bawah tulang belakang. Hal ini dapat menyebabkan tulang-tulang rawan tersebut patah.
Jika jarak mengangkat kedua tangan tidak sejajar dengan kedua bahu, maka perlaksanaan gerakan tidak akan dapat memperbaiki kerosakan-kerosakan tulang belakang dan kedua bahu, selain itu tidak akan dapat mengembalikan kedua tulang belikat ke tempatnya yang seimbang. Akibatnya, tidak terjadi perluasan dada yang menyebabkan bertambahnya kapasiti udara kedua paru-paru. Dari sini, jelaslah hikmah disebalik kemestian mengangkat kedua lengan sehingga sejajar dengan bahu dam nyatalah kehebatan dan ketelitian perlaksanaan gerakan yang digariskan oleh Rasulullah saw sejak lebih dari 14 abad yang lalu. Iaitu sebelum para ilmuwan mengetahui kerosakan-kerosakan pada badan, struktur badan yang ideal dan prasarana-prasaran perubatan semulajadi. Maha Suci Allah yang meliputi segala pengetahuan.
Selanjutnya, wujud satu soalan, iaitu: jika mengangkat dua lengan sejajar dengan kedua bahu memiliki faedah-faedah yang bermacam-macam, maka kenapa perbuatan ini tidak dilakukan pada awal rakaat kedua dan keempat, sebagaimana pada awal rakaat pertama dan berdiri untuk rakaat yang ketiga?
Mengangkat tangan hanya dilakukan pada rakaat-rakaat ganjil dan tidak pada rakaat-rakaat genap. Allah memberikan hikmah dalam setiap gerakan solat supaya semuanya menjadi harmoni dan supaya pergantian antara mengangkat dan tidak mengangkat tangan menjadi pengingat kepada orang yang melakukan solat pada setiap awal rakaat sehingga ingat rakaat yang sedang dikerjakan.
Tuesday, January 25, 2011
KEUTAMAAN MELURUSKAN SAF DALAM SOLAT
Merapatkan kaki dengan kaki dan bahu dengan bahu bererti jarak antara kedua kaki seseorang yang solat sejajar dengan jarak kedua bahunya. Maksudnya, jarak antara kedua telapak kaki sama dengan dada atau mungkin lebih sedikit.
Jarak antara kedua kaki yang seluas dengan dada dapat mewujudkan tingkat keseimbangan tubuh manusia yang paling tinggi. Sebab jika seseorang bertumpu pada satu kaki, maka keseimbangannya lemah. Jika dia bertumpu pada dua kaki yang saling dirapatkan, maka keseimbangannya sedikit lebih besar daripada bertumpu pada satu kaki. Tingkat keseimbangan bertambah secara bertahap seiring dengan bertambahnya jarak antara kedua telapak kaki sehingga mencapai tingkat keseimbangan yang paling tinggi dan jarak antara kedua kakinya lebih kurang sama dengan jarak antara kedua bahunya. Kemudian tingkat keseimbangan berkurang secara bertahap seiring dengan bertambahnya jarak antara dua kaki yang lebih lebar dari jarak kedua bahu.
Rasulullah saw amat menekankan bagi mewujudkan keseimbangan paling tinggi dalam solat ketika berdiri, iaitu ketika seseorang hamba berdiri di hadapan Penciptanya dengan khusyu’ seraya mengharapkan rahmat dan kesempurnaanNya.
Merapatkan bahu dengan bahu menjadikan seseorang mampu mengawal setiap gerakan tubuhnya kerana menjaga keseimbangan tubuh diperlukan sekumpulan kekuatan yang mempengaruhinya sehingga dapat berdiri seimbang dan kukuh. Kekuatan-kekuatan ini berupa berat badan, graviti bumi yang mempengaruhi berat badan pada titik gravitinya, kekuatan otot-otot yang menggerakkan anggota-anggota tubuh badan dan kekuatan-kekuatan yang lain.
Ketika seseorang bertumpu pada kedua kaki yang sejajar kedua bahu, maka titik tumpuannya adalah kedua kaki yang dijarakkan. Titik berat perempuan berada sedikit lebih rendah daripada lelaki, kerana separuh ke bawah dari badan perempuan lebih padat berbanding lelaki. Oleh kerana titik berat badan manusia berada sedikit di bawah pusat, maka untuk memperolehi keseimbangan, tulang yang menahan berat tubuh hingga ke tanah harus berada pada titik tumpuan yang tepat dengan menjarakkan kedua kaki. Oleh itu, merapatkan bahu dengan bahu dapat menjamin seseorang untuk tetap bertumpu pada kedua kaki secara seimbang. Demikianlah yang diajarkan oleh Nabi saw ketika melarang bertumpu pada satu kaki dan merapatkan kedua kaki ketika dalam solat.
Keistimewaan larangan Nabi saw untuk bertumpu pada satu kaki dan merapatkan kedua kaki dalam solat kerana bertumpu pada satu kaki menjadikan tulang-tulang pinggul miring ke arah yang lain. Jika perkara ini dilakukan secara berterusan dalam jangka masa tertentu, maka dia akan merasakan bahawa salah satu daripada kakinya sedikit lebih panjang dari yang lain. Selain itu, berlaku lengkungan pada tulang belakang.
Jika didapati kemiringan pada tulang-tulang pinggul sebagai akibat daripada kebiasaan-kebiasaan yang salah dalam berdiri atau berjalan, bukan akibat daripada penyakit polio atau cacat pada salah satu kaki, maka merapatkan bahu seseorang dengan bahu orang lain dan merapatkan kakinya dengan kaki orang lain memaksanya untuk bertumpu pada kedua kaki secara seimbang. Malah jika hal ini dilakukan secara berterusan dan berdisiplin ketika melaksanakan solat secara berjamaah, maka kerosakan ini amat mudah untuk diubati.
Jenis kerosakan lain yang biasa berlaku pada kedua kaki iaitu kaki melingkar ke dalam atau ke luar. Merapatkan kaki seseorang dengan kaki orang lain ketika dalam solat berjamaah memaksanya untuk merapatkan buku lalinya dengan buku lali orang lain. Keadaan ini mengharuskan kedua kaki benar-benar berada dalam keadaan sejajar kerana masa berdiri yang diperlukan dalam solat cenderung lama memandangkan harus dimulakan dengan membaca surah al-Fatihah dan surah-surah lain dalam al-Qur’an. Keadaan ini dilakukan secara berulang-ulang sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali dalam sehari semalam. Solat dalam keadaan sedemikian menjadi terapi untuk melindungi badan daripada kerosakan kaki yang menekuk ke dalam atau ke luar. Sekiranya kerosakan ini berlaku, maka dengan berdisiplin dalam melakukan solat dapat menyembuhkannya.
Di antara kerosakan lain yang kerap dialami oleh badan adalah tulang-tulang pinggul melingkar. Ini adalah kerosakan yang diakibatkan oleh kebiasaan seseorang meletakkan salah satu kakinya di atas kaki yang lain , atau kebiasaan tidur di atas satu sisi dan kakinya yang atas berada di depan atau di belakang yang lain. Gerakan-gerakan solat dapat membaiki kerosakan tersebut sekaligus memberikan perlindungan dan pengubatan ke atasnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)