Merapatkan kaki dengan kaki dan bahu dengan bahu bererti jarak antara kedua kaki seseorang yang solat sejajar dengan jarak kedua bahunya. Maksudnya, jarak antara kedua telapak kaki sama dengan dada atau mungkin lebih sedikit.
Jarak antara kedua kaki yang seluas dengan dada dapat mewujudkan tingkat keseimbangan tubuh manusia yang paling tinggi. Sebab jika seseorang bertumpu pada satu kaki, maka keseimbangannya lemah. Jika dia bertumpu pada dua kaki yang saling dirapatkan, maka keseimbangannya sedikit lebih besar daripada bertumpu pada satu kaki. Tingkat keseimbangan bertambah secara bertahap seiring dengan bertambahnya jarak antara kedua telapak kaki sehingga mencapai tingkat keseimbangan yang paling tinggi dan jarak antara kedua kakinya lebih kurang sama dengan jarak antara kedua bahunya. Kemudian tingkat keseimbangan berkurang secara bertahap seiring dengan bertambahnya jarak antara dua kaki yang lebih lebar dari jarak kedua bahu.
Rasulullah saw amat menekankan bagi mewujudkan keseimbangan paling tinggi dalam solat ketika berdiri, iaitu ketika seseorang hamba berdiri di hadapan Penciptanya dengan khusyu’ seraya mengharapkan rahmat dan kesempurnaanNya.
Merapatkan bahu dengan bahu menjadikan seseorang mampu mengawal setiap gerakan tubuhnya kerana menjaga keseimbangan tubuh diperlukan sekumpulan kekuatan yang mempengaruhinya sehingga dapat berdiri seimbang dan kukuh. Kekuatan-kekuatan ini berupa berat badan, graviti bumi yang mempengaruhi berat badan pada titik gravitinya, kekuatan otot-otot yang menggerakkan anggota-anggota tubuh badan dan kekuatan-kekuatan yang lain.
Ketika seseorang bertumpu pada kedua kaki yang sejajar kedua bahu, maka titik tumpuannya adalah kedua kaki yang dijarakkan. Titik berat perempuan berada sedikit lebih rendah daripada lelaki, kerana separuh ke bawah dari badan perempuan lebih padat berbanding lelaki. Oleh kerana titik berat badan manusia berada sedikit di bawah pusat, maka untuk memperolehi keseimbangan, tulang yang menahan berat tubuh hingga ke tanah harus berada pada titik tumpuan yang tepat dengan menjarakkan kedua kaki. Oleh itu, merapatkan bahu dengan bahu dapat menjamin seseorang untuk tetap bertumpu pada kedua kaki secara seimbang. Demikianlah yang diajarkan oleh Nabi saw ketika melarang bertumpu pada satu kaki dan merapatkan kedua kaki ketika dalam solat.
Keistimewaan larangan Nabi saw untuk bertumpu pada satu kaki dan merapatkan kedua kaki dalam solat kerana bertumpu pada satu kaki menjadikan tulang-tulang pinggul miring ke arah yang lain. Jika perkara ini dilakukan secara berterusan dalam jangka masa tertentu, maka dia akan merasakan bahawa salah satu daripada kakinya sedikit lebih panjang dari yang lain. Selain itu, berlaku lengkungan pada tulang belakang.
Jika didapati kemiringan pada tulang-tulang pinggul sebagai akibat daripada kebiasaan-kebiasaan yang salah dalam berdiri atau berjalan, bukan akibat daripada penyakit polio atau cacat pada salah satu kaki, maka merapatkan bahu seseorang dengan bahu orang lain dan merapatkan kakinya dengan kaki orang lain memaksanya untuk bertumpu pada kedua kaki secara seimbang. Malah jika hal ini dilakukan secara berterusan dan berdisiplin ketika melaksanakan solat secara berjamaah, maka kerosakan ini amat mudah untuk diubati.
Jenis kerosakan lain yang biasa berlaku pada kedua kaki iaitu kaki melingkar ke dalam atau ke luar. Merapatkan kaki seseorang dengan kaki orang lain ketika dalam solat berjamaah memaksanya untuk merapatkan buku lalinya dengan buku lali orang lain. Keadaan ini mengharuskan kedua kaki benar-benar berada dalam keadaan sejajar kerana masa berdiri yang diperlukan dalam solat cenderung lama memandangkan harus dimulakan dengan membaca surah al-Fatihah dan surah-surah lain dalam al-Qur’an. Keadaan ini dilakukan secara berulang-ulang sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali dalam sehari semalam. Solat dalam keadaan sedemikian menjadi terapi untuk melindungi badan daripada kerosakan kaki yang menekuk ke dalam atau ke luar. Sekiranya kerosakan ini berlaku, maka dengan berdisiplin dalam melakukan solat dapat menyembuhkannya.
Di antara kerosakan lain yang kerap dialami oleh badan adalah tulang-tulang pinggul melingkar. Ini adalah kerosakan yang diakibatkan oleh kebiasaan seseorang meletakkan salah satu kakinya di atas kaki yang lain , atau kebiasaan tidur di atas satu sisi dan kakinya yang atas berada di depan atau di belakang yang lain. Gerakan-gerakan solat dapat membaiki kerosakan tersebut sekaligus memberikan perlindungan dan pengubatan ke atasnya.
No comments:
Post a Comment