Takbiratul Ihram memiliki kedudukan yang sangat penting. Takbiratul Ihram adalah bahagian utama solat, berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra.
Setiap sesuatu memiliki bahagian utama, dan bahagian utama solat adalah takbir pertama (diriwayatkan oleh al-Baihaqi).
Dalam melakukan takbiratul ihram, seorang muslim harus mengangkat kedua tangannya sambil membuka jari-jarinya sebagaimana adanya tanpa merenggangkannya. Hendaklah kedua tangannya sejajar dengan bahu, telapak tangan menghadap ke kiblat, kedua ibu jari sejajar dengan cuping telinga dan hujung jari-jarinya menunjuk ke bahagian atas telinga. Lalu hendaklah dia bertakbir untuk memulakan solat.
Hikmah mengangkat tangan dan sejajar dengan bahu adalah bahawa dalam kehidupan normal, seseorang kadang kala mengalami lengkungan pada daerah tulang belakang. Demikian pula lingkaran pada dua bahu dan menonjol pada tulang belakang ke arah belakang. Kerosakan ini banyak berlaku di kalangan orang-orang yang melakukan kerja-kerja pejabat yang mengharuskannya untuk membongkokkan tulang belakang ke atas meja dalam jangka masa yang lama, begitu pula dengan orang-orang yang berusia lanjut. Akibat yang ditimbulkan oleh kerosakan ini, iaitu berkurangnnya ruang udara bagi kedua paru-paru. Maksudnya, kadar udara dalam tarikan dan hembusan nafas. Nisbah oksigen dalam udara adalah seperlima kadar udara. Oleh itu, terdapat hubungan yang seimbang di antara ruang udara dan kadar oksigen. Ini bererti bahawa setiap kali ruang udara berkurangan maka kadar oksigen di dalam kedua paru-paru juga berkurangan. Hal ini menyebabkan berkurangnya kuantiti darah yang membawa oksigen dan makanan ke sel-sel badan.
Berkurangnya proses metabolisme dalam sel-sel kerana berkurangnya oksigen serta berkurangnya kuantiti darah yang membawa sisa-sisa pembakaran pada sel-sel dan mengembalikannya ke jantung dan paru-paru untuk dibersihkan melalui proses pertukaran gas pada kedua paru-paru. Akibatnya, kecepatan tubuh untuk membersihkan diri dari sisa-sisa pembakaran pada sel-sel akan berkurangan. Pada keadaan ini akan mempercepatkan terjadinya keletihan pada otot sebagai akibat dari penimbunan sisa-sisa pembakaran.
Mengangkat tangan dengan cara kedua telapak tangan menghadap qiblat, maka kedua siku menunjuk ke arah dua sisi, bukan ke depan. Mengangkat kedua telapak tangan sejajar dengan kedua bahu menjadikan dua tulang belikat yang ada di tulang belakang kembali ke kedudukannya yang rata, disertai dengan keseimbangan tulang belakang. Ini berfungsi melindungi tubuh dari kerosakan melingkarnya kedua bahu dan tulang belakang. Melakukan gerakan ini secara berulang-ulang dalam melaksanakan solat dapat memperbaiki kerosakan ini.
Selain itu, mengangkat kedua tangan dengan cara ini dan mengembalikan tulang belakang kepada keseimbangannya dapat menambah luas dada. Selanjutnya kapasiti udara kedua paru-paru akan bertambah, kuantiti darah yang beroksigen akan bertambah, kuantiti darah yang membawa makanan dan oksigen kepada sel-sel badan akan bertambah dan kecepatan badan untuk membersihkan diri dari sisa-sisa proses metabolisme pada sel-sel akan bertambah. Dengan demikian, munculnya keletihan pada otot dan ketegangan pada otak dapat dikurangkan.
Dalam hadis disebutkan bahawa: Apabila Nabi saw berdiri untuk solat, terlebih dahulu mengangkat kedua tangannya sambil meluruskan jari-jarinya. Ini bererti bahawa pada masa mengangkat tangan, Baginda membuka jari-jarinya secara serentak, sehingga telapak tangannya menjadi terbuka. Ini adalah latihan untuk jejari tangan. Meskipun nampak sederhana, akan tetapi sesuai dengan otot-otot dan ikatan-ikatan pada jari-jari. Persiapan otot yang diperlukan oleh jari-jari tangan haruslah sesuai dengan berat bebanan yang ditanggungnya dalam kehidupan seharian. Bebanan tersebut adalah lebih sedikit jika dibandingkan dengan beban otot-otot besar pada bahagian-bahagian badan yang lain. Dengan mengulangi latihan bagi jari-jari seperti ini sebanyak 3 kali dalam setiap rakaat dan 17 rakaat dalam sehari semalam, maka hal itu boleh mempercepatkan aliran darah pada jari-jari.
Selain itu, mengangkat dan menurunkan kedua lengan dengan cara sedemikian ketika bertakbir, sebanyak 3 kali dalam setiap rakaat dan 17 rakaat dalam sehari semalam, ditambah solat-solat sunat dapat dianggap sebagai latihan bagi otot-otot kedua lengan. Ini kerana otot-otot kedua lengan mengeluarkan tenaga, meskipun sedikit, untuk melawan berat kedua lengan sendiri setiap kali tangan diangkat dan diturunkan. Ini adalah latihan ringan bagi otot-otot kedua lengan sebab otot-otot tersebut tidak berada dibawah pengaruh selain berat kedua lengan sendiri. Oleh itu, dapat dianggap sebagai latihan pemanasan dan pendahuluan bagi otot-otot kedua lengan untuk mempersiapkannya mengeluarkan tenaga yang lebih besar setelah itu, misalnya semasa bersujud.
Perlu diketahui bahawa jika jarak mengangkat tangan bertambah atau orang yang solat berlebihan dalam gerakannya, maka akan menambahkan tekanan kedua tulang belikat pada tulang belakang ke arah depan, sehingga cengkungan daerah bahagian bawah tulang belakang yang berlawanan dengan perut akan bertambah ke belakang. Tambahan ini akan mengakibatkan terjadinya tarikan pada saraf yang mengatur daerah bahagian belakang kedua kaki dan tekanan pada hujung-hujung saraf tersebut. Hal ini dapat menimbulkan penyakit sciatica. Selain itu, tekanan pada sisi belakang tulang-tulang rawan pada ruas-ruas tulang belakang akan bertambah sebagai akibat semulajadi dari bertambahnya cengkungan bahagian bawah tulang belakang. Hal ini dapat menyebabkan tulang-tulang rawan tersebut patah.
Jika jarak mengangkat kedua tangan tidak sejajar dengan kedua bahu, maka perlaksanaan gerakan tidak akan dapat memperbaiki kerosakan-kerosakan tulang belakang dan kedua bahu, selain itu tidak akan dapat mengembalikan kedua tulang belikat ke tempatnya yang seimbang. Akibatnya, tidak terjadi perluasan dada yang menyebabkan bertambahnya kapasiti udara kedua paru-paru. Dari sini, jelaslah hikmah disebalik kemestian mengangkat kedua lengan sehingga sejajar dengan bahu dam nyatalah kehebatan dan ketelitian perlaksanaan gerakan yang digariskan oleh Rasulullah saw sejak lebih dari 14 abad yang lalu. Iaitu sebelum para ilmuwan mengetahui kerosakan-kerosakan pada badan, struktur badan yang ideal dan prasarana-prasaran perubatan semulajadi. Maha Suci Allah yang meliputi segala pengetahuan.
Selanjutnya, wujud satu soalan, iaitu: jika mengangkat dua lengan sejajar dengan kedua bahu memiliki faedah-faedah yang bermacam-macam, maka kenapa perbuatan ini tidak dilakukan pada awal rakaat kedua dan keempat, sebagaimana pada awal rakaat pertama dan berdiri untuk rakaat yang ketiga?
Mengangkat tangan hanya dilakukan pada rakaat-rakaat ganjil dan tidak pada rakaat-rakaat genap. Allah memberikan hikmah dalam setiap gerakan solat supaya semuanya menjadi harmoni dan supaya pergantian antara mengangkat dan tidak mengangkat tangan menjadi pengingat kepada orang yang melakukan solat pada setiap awal rakaat sehingga ingat rakaat yang sedang dikerjakan.
No comments:
Post a Comment